Musim Musang King: Kisah ABC vs 3T

Sekarang musim durian Musang King kembali lagi. Kalau kita perhatikan, pasaran tempatan ...

Jamaluddin bin Muhamed Said

1/10/20261 min read

Kenapa Hasil Kita 'Musang Singgah', Hasil Mereka 'Musang King'?

Sekarang musim durian Musang King kembali lagi. Kalau kita perhatikan, pasaran tempatan dan eksport banyak dikuasai oleh tauke-tauke yang serius dalam industri ini. Orang kita pun ramai ada kebun Musang King, cuma hasilnya... kadang-kadang sekadar "Musang Singgah" saja, lepas tu hilang.

Beza utama sebenarnya bukan pada baka durian, tapi pada cara fikir dan cara urus kebun.

👨‍🏫 Cara Urus Tauke: Konsep ABC

Tauke masuk kebun dengan satu matlamat jelas: UNTUNG. Mereka tak main-main, mereka pegang konsep ABC yang disiplin:

  • 🅰️ AIR: Bekalan cukup dan ikut jadual automatik. Tak tunggu hujan turun.

  • 🅱️ BAJA: Ikut formula saintifik, bukan ikut perasaan atau bila poket tebal saja.

  • 🌊 CAHAYA: Rumput sentiasa rendah, anak kayu ditebas habis.

Bagi mereka, kalau rumput lebih tinggi daripada pokok durian, itu bukan kebun—itu Hutan Simpan Sementara. Macam mana pokok nak berbuah kalau matahari pun tak jumpa daun?

🤦‍♂️ Cara Urus Kita: Konsep 3T

Sebaliknya, sebahagian daripada kita masih selesa memegang "tradisi" lama iaitu konsep 3T:

  1. TANAM

  2. TINGGAL

  3. TUAI (Itupun kalau ada hasil... 😅)

Kebun tak berpagar, baja "bila sempat", rumput dibiarkan tumbuh lebih subur daripada durian. Bila pokok tak berbuah atau mati, ayat kegemaran kita keluar:

“Tanah ni tak subur...” “Pokok ni belum sampai seru...” “Rezeki belum mari...”

Akhirnya, Dua-dua Pihak Capai Objektif!

  • Kita capai objektif: Kurangkan kos & jimat tenaga.

  • Mereka capai objektif: Maksimumkan hasil & keuntungan.

Kita tanam bermodalkan anak benih semata-mata. Mereka tanam dengan modal baja, sistem pengairan, tenaga kerja, dan yang paling penting—DISIPLIN.

Sebab itu bila kita minta diskaun harga durian, mereka jawab dengan tenang: "Ini Musang King bukit... pokok tua... baja mahal... cahaya cukup..."

Itu bukan sombong, tapi itulah nilai kepada kos, ilmu, dan pengurusan yang cekap.

Pengajaran: Mudah Tapi Pahit 💡

  1. Berkebun bukan soal TANAM saja, tapi soal URUS.

  2. Rezeki memang dari Tuhan, tapi Tuhan suka orang yang buat kerja betul-betul (Ihsan).

Kalau kita masih amal 3T, jangan hairan jika akhirnya hasil kita jadi 3H: 👉 HARAP, HAMPA, HABIS MUSIM! 😄

Ikhlas daripada,

Jamaluddin bin Muhamed Said Setiausaha KOKETAM